Apakah yang kita faham mengenai busana pengantin muslimah yang banyak diperkatakan kini. Busana pengantin muslimah adalah antara salah satu permulaan buat pengantin untuk menutup auratnya dari dilihat oleh orang lain.

Tidak perlu kelihatan terlalu menonjol ketika majlis perkahwinan diadakan. Pasti, akan ada aura nya yang tersendiri tidak kira jika anda mengenakan busana perkahwinan yang mengikut trend semasa atau mahu mengekalkan ciri-ciri islamiah dengan penampilan anda. Tapi tahukah anda apakah yang dikatakan sebagai busana pengantin muslimah.

5  kriteria yang perlu untuk memastikan busana yang akan anda gayakan nanti menepati makna muslimah itu sendiri.

1. Menutup Aurat
Adalah sangat penting sebelum anda bercadang atau memiliki idea untuk menghasilkan busana idaman bagi majlis bahagia anda, pastikan busana itu menutup aurat. Contohnya berlengan panjang dan tidak pendek potongannya terutama di bahagian punggung. Potongan jenis jubah atau baju kurung biasa adalah sangat menepati bagi anda yang mahu tampil anggun di hari berbahagia nanti.

2. Tidak Jarang
Jarang dalam konteks pemilihan busana ialah kain yang boleh menampakkan susuk tubuh si pemakainya. Sebaik-baiknya busana yang akan dikenakan itu mempunyai lapisan lain di dalam atau biasa dikenali sebagai ‘inner’ untuk memastikan ia tampak lebih sopan sekali gus menarik. Contoh sifon dan ‘lace’.

3. Tidak Terlalu Ketat
Dalam pemilihan fabrik juga ia sangat memerlukan ketelitian, fabrik yang tidak mudah melekat ke tubuh apabila digayakan juga penting. Contoh fabrik seperti satin adalah tidak digalakkan jika anda mahu gayakan kerana sifatnya yang mudah melekat dan mengikut bentuk badan.

4. Warna
Ketika memilih untuk menggunakan warna apa sebagai warna tema busana pengantin anda, diingatkan untuk memilih warna yang tidak terlalu menonjol dan terang kerana dikhuatiri warnanya akan menarik perhatian tetamu yang hadir dan itu tidak digalakkan. Seelok-eloknya pilihlah warna yang lembut dan sedap mata memandang.

5. Hiasan Tambahan
Hiasan seperti manik, ropol-ropolan yang terlalu sarat sangat tidak sesuai mengikut makna busana muslimah itu sendiri. Hiasan yang ringan dan tidak terlalu sarat tetapi bakal menimbulkan impak eksklusif adalah lebih baik untuk digayakan. Elakkan memilih busana pengantin yang terlalu panjang berjela-jela kainnya kerana ia bakal menampakkan ciri yang lain bagi si pemakai.