CUMA BENARKAN STACY TIDAK BERTUDUNG, AKIM DITUDUH SUAMI ‘DAYUS’

CUMA BENARKAN STACY TIDAK BERTUDUNG, AKIM DITUDUH SUAMI ‘DAYUS’

Artis

Penyanyi Akim Ahmad mendakwa dituduh dayus oleh segelintir pihak semata-mata kerana kononnya tidak “menyuruh” isterinya bertudung sebaik sahaja memeluk Islam.

Namun suami kepada penyanyi popular Stacy Anam itu berkata, bukan mudah untuknya membimbing isterinya seorang saudara baharu mendalami agama dalam masa singkat.

“Tugas saya untuk mendidik dan membimbing Stacy mendalami Islam bukanlah sesuatu yang mudah.

“Janganlah sewenang-wenangnya melemparkan kata cacian yang tidak berasas,” katanya dipetik Berita Harian, semalam.

Vokalis kumpulan Akim & The Majistret itu meminta semua pihak memberi ruang kepada isterinya belajar dan memahami Islam sebelum membuat perubahan.

“Saya tahu ada yang mendakwa saya dayus kerana tidak menyuruh Stacy berhijab. Bagi saya tohmahan sebegitu tiada asasnya kerana sebagai saudara baharu dalam Islam, masih banyak yang perlu dia pelajari.

“Benar bertudung adalah tuntutan untuk wanita Islam, namun berilah Stacy masa,” katanya.

Kewajipan untuk wanita Islam menutup rambut dengan hijab masih didebatkan antara ulama, namun semakin dipentingkan oleh masyarakat Melayu-Muslim kebelakangan ini.

Bekas bintang Akademi Fantasia itu juga akan menunaikan umrah di Mekah bersama anggota kumpulannya pada 18 Jun ini sehingga Hari Raya Aidilfitri, namun tidak membawa Stacy ikut bersama.

Berat hati meninggalkan keluarganya beraya keseorangan, katanya Stacy perlu belajar banyak perkara sebelum menunaikan ibadat di Tanah Suci dan berjanji membawanya bersama dalam setahun dua lagi.

“Bukan saya tidak mahu membawa Stacy bersama-sama menunaikan umrah, tetapi masih banyak yang dia perlu belajar sebelum menjejakkan kaki ke Makkah,” tambah Akim.

Stacy memeluk Islam pada Ogos tahun lalu dengan nama baharu Ummu Shaikhah Stacy Annam sebelum berkahwin dengan Akim pada Februari lalu.

Share dari: http://www.wanista.com/cuma-benarkan-stacy-tidak-bertudung-akim-dituduh-suami-dayus/