Fesyen Pengantin Muslimah Yang Anda Harus Tahu

Fesyen Pengantin Muslimah Yang Anda Harus Tahu

Out & About

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu dengan Fesyen Pengantin Muslimah

Ada sesiapa yang akan menjadi raja sehari dalam waktu yang terdekat? Kalau ya, sudahkah anda mencari busana pengantin sempena hari bersejarah tersebut? Bagi yang lelaki, pencarian pakaian pengantin mungkin tidak sukar seperti pasangan wanita anda. Lambakan fesyen busana pengantin pada masa kini kadangkala boleh membuatkan si bakal pengantin perempuan keliru dan akhirnya, tidak tahu memilih yang mana satu.

Di antara banyak fesyen pengantin terkini, fesyen busana pengantin Muslimah mendapat perhatian ramai kerana fesyennya yang tidak menjolok mata dan berlandaskan syariat dan agama. Mungkin ramai gadis di luar sana yang terpikat dengan kesopanan dan kecantikan yang terhasil apabila melihat seseorang mengenakan busana pengantin Muslimah. Pelbagai jenis busana pengantin Muslimah yang boleh anda pilih mengikut cita rasa dan bajet masing-masing pada hari ini.

Sebelum itu, adakah anda tahu apakah kriteria-kriteria busana pengantin Muslimah?

Kriteria busana pengantin Muslimah

Umum mengetahui bahawa syarat utama dalam pemakaian seorang Muslimah adalah menutup aurat. Justeru itu, busana pengantin anda haruslah menepati kriteria ini. Pastikan busana pilihan itu dapat menutupi aurat anda dengan sempurna agar anda boleh berasa selesa dan yakin semasa majlis bahagia itu. Usah risau, banyak pilihan busana Muslimah masa kini yang mampu menampilkan keayuan dan kejelitaan meskipun menutup aurat.

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu 1

Pemilihan fabrik juga perlu dititikberatkan. Ini kerana jika tersalah pilih dan terlepas pandang mengenai hal ini, ia mungkin boleh mencacatkan penampilan anda sebagai seorang Muslimah. Pastikan fabrik yang anda pilih tidak terlalu nipis sehingga menampakkan susuk tubuh. Seelok-eloknya busana yang akan dipakai mempunyai lapisan dalam yang juga dikenali sebagai ‘inner’ agar penampilan anda kelihatan lebih sopan dan juga menawan. Anda juga harus bijak dalam memilih fabrik agar fabrik yang dipilih itu tidak melekat di tubuh apabila dipakai. Satin sebagai contohnya, tidak digalakkan kerana sifatnya yang mudah melekat dan sekali gus menampak susuk tubuh pemakainya.

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu 2

Bagi sesetengah wanita, pemilihan warna busana pengantin mungkin tidak relevan dalam menampilkan imej Muslimah yang sebenar. Namun sebenarnya anda disarankan agar tidak memilih warna yang menonjol dan terang. Ini kerana dikhuatiri akan menarik perhatian tetamu lelaki terutamanya yang mana adalah tidak digalakkan. Bukankah warna-warna lembut seperti krim, biru muda dan warna pastel lain itu lebih menyedapkan mata dan menaikkan seri pengantin anda? Jadi, mengapa ragu-ragu memilihnya?

Busana pengantin tidak lengkap tanpa perincian tambahan seperti manik, kain lace, batu permata dan lain-lain. Busana pengantin Muslimah juga tidak ketinggalan dengan hiasan yang menarik dan cantik ini. Hanya pastikan hiasan itu tidak terlalu sarat dan keterlaluan. Sederhanalah dengan hiasan tambahan pada busana pengantin Muslimah idaman anda tersebut. Hiasan yang ringan dan tidak terlalu sarat tetapi memberi impak eksklusif adalah lebih baik untuk dikenakan pada hari bahagia tersebut. Selain itu, pemakaian busana pengantin Muslimah yang panjang berjela-jela juga tidak digalakkan.
Anda bijak memilih, anda menang memakai. Dan paling penting sekali, imej anda sebagai seorang Muslimah masih terjaga dan terpelihara.

Fesyen busana pengantin Muslimah

Kehadiran ramai pereka fesyen yang bijak dan kreatif pada masa kini membantu dalam mengetengahkan koleksi fesyen busana Muslimah yang hebat dan cantik. Pelbagai fesyen busana pengantin Muslimah yang boleh ditemui dengan mudah. Malah, keayuan dan kecantikan busana pengantin Muslimah ini juga setanding dengan busana pengantin yang lain. Mari kita lihat fesyen pilihan busana pengantin Muslimah yang hebat pada abad ini.

Jubah

Memakai jubah semasa hari perkahwinan pada masa dahulu mungkin agak janggal. Tetapi, trend yang terus berevolusi dan berkembang pada masa kini telah mentransformasikan jubah sebagai satu pilihan fesyen busana pengantin yang hangat dan popular. Potongannya yang labuh dan tidak menampakkan bentuk tubuh menjadikannya pilihan utama si Muslimah. Bukan itu sahaja, jubah juga turut bersesuaian dengan semua bentuk tubuh. Oleh itu, bakal pengantin yang berisi juga boleh tampak anggun dan menawan di hari bahagia mereka.

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu 3

Gaun labuh

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu 5

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu 4

Populariti gaun labuh sebagai busana pengantin Muslimah pada masa kini juga tidak kurang hebatnya. Potongan busana ini pasti merealisasikan impian pengantin yang ingin tampil seperti seorang puteri di hari bahagia mereka. Pelbagai jenis potongan gaun labuh yang boleh anda pilih seperti ‘A-cut’ , ‘baby-doll’ ,’princess-cut’ dan lain-lain. Pastinya anda akan tampak anggun dan kelihatan menarik sekali dengan busana pengantin Muslimah fesyen gaun labuh ini.

Baju kurung

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu 7

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu 6

Tidak kiralah sama ada baju kurung tradisional mahupun baru kurung moden, kedua-duanya masih menjadi pilihan busana pengantin sehingga kini. Fesyen busana pengantin ini bersesuaian untuk mereka yang bersaiz sederhana dan kurus.

Mungkin ada sebahagian yang berpendapat bahawa baju kurung adalah kurang menarik dan ketinggalan. Namun, sekiranya anda bijak memilih warna serta tema, baju kurung ini akan tampak lebih eksklusif dan menawan. Begitu juga dengan baju kurung moden, pemakaiannya akan menjadikan si pengantin tampak lebih kemas, sopan dan berseri-seri di hari bahagianya.

Kebaya labuh

Fesyen busana Muslimah ini turut terkenal dan mendapat permintaan tinggi di butik-butik pengantin. Fesyen ini sememangnya menghasilkan impak yang lebih elegan dan anggun kepada si pengantin. Kebaya jenis ini berbeza dengan kebaya tradisional kerana ia labuh sehingga ke paras buku lali dan mempunyai bukaan pada bahagian tengah hadapan. Sekiranya anda memilih fesyen ini sebagai busana pengantin Muslimah idaman, gunakan songket sebagai kain di bahagian dalam dan kain organza untuk kebayanya.

Tampil Jelita di Hari Bahagiamu 8

Semua fesyen busana Muslimah di atas mempunyai tarikan dan kecantikan tersendiri.

 

Share dari: https://www.zolace.com/blog/fesyen-pengantin-muslimah-yang-anda-harus-tahu/