Jemputan mengikuti pereka fesyen terkenal ini mengadakan persembahan fesyen di Indonesia Fashion Week 2017 disambut baik penulis. Lebih senang meilhat sendiri bagaimana meriah serta hebatnya arena fesyen di Indonesia. Menjadi pereka fesyen yang menutup minggu fesyen ini merupakan satu penghormatan kepada Jovian lebih-lebih lagi dia adalah pereka dari Malaysia. Khabarnya, tahun 2017 menjadi penanda aras untuk pereka ini berkembang jauh keluar negara.

Selepas sepuluh tahun berada di dalam industri fesyen di Malaysia, Jovian tidak pernah menyifatkan bahawa tempoh ini satu tempoh yang membolehkan dia senang duduk. Sebaliknya semakin hari dia semakin agresif dalam mengembangkan sayapnya ke seluruh dunia. Bayangkan berakhir sahaja persembahan fesyen di Indonesia, dua hari kemudian di melancarkan koleksi bridal ready to wear pula dan bakal diikuti dengan pelancaran koleksi hari raya kolaborasi bersama aktres terkenal Lisa Surihani. It is a non stop work!

Benarkah anda seorang yang sangat workaholic? “Bagi saya I just love what ever I am doing, I never complain. Saya rasa setiap orang di dalam syarikat saya pun sangat gembira dengan apa yang mereka lakukan. Sebagai seorang ketua amat penting bagi saya untuk bekerja keras bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Kini saya mempunyai lebih 250 tenaga kerja yang menguruskan pelbagai department yang kami miliki seperti couture, ready-to-wear, human resources, account, fotografi dan lain-lain lagi. Saya percaya sebagai seorang ketua semunya perlu dimulakan oleh saya dan mereka perlu mencontohi cara kerja yang ditunjukkan. Jadi setiap kali nak buat kerja saya akan tolong tunjukkan dahulu, kini saya pun tidak perlu risau kerana mereka sudah tahu mengendalikan tugas dengan baik. “

Mengadakan persembahan fesyen di Indonesia dan khabarnya akan membuka cawangan Jhijab di Jakarta, adakah senang untuk pereka Malaysia menembusi pasaran Indonesia? Jawabnya, “Saya sangat beruntung kerana memiliki darah Indonesia dan boleh berbahasa Indonesia dengan baik. Memang tidak mudah untuk menembusi pasaran Indonesia, kerana industri di sana sangat mementingkan jenama tempatan kemudian barulah jenama luar. Oleh sebab itu, apabila dijemput untuk mengadakan persembahan penutup di Indonesia Fashion Week 2017 tanpa ragu-ragu saya bersetuju dan saya juga menggunakan tagline ‘Jovian Balik kampung’ untuk membolehkan saya berasa lebih dekat lagi dengan pasaran Indonesia.”