Legasi bisnes ciptaan Neelofa

Legasi bisnes ciptaan Neelofa

Artis, Out & About

BERGELUMANG dalam dunia perniagaan seawal usia remaja memberi kelebihan buat Noor Neelofa Mohd Noor atau mesra disapa Lofa mencanai strategi di pentas bisnes.

Bermula dengan bisnes suplemen kecantikan iaitu BellaVita, langkah Lofa dalam dunia bisnes terus berkembang hebat. Kemunculan bisnes kanta lekap berwarna diikuti Naelofar Abaya, antara langkah pertama Lofa berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Tidak pernah puas dengan apa yang dikecapinya, wanita jelita ini terus melebarkan sayap bisnesnya dengan memperkenalkan Naelofar Hijab pada tahun 2014. Naelofar Hijab nyata menjadi satu fenomena luar biasa sehingga namanya cukup gah dan dikenali ramai. Interpretasi kerja keras Lofa nyata membuahkan kejayaan yang amat memberangsangkan.

Label Naelofar Hijab merupakan gabungan antara minat serta kecintaan Lofa dalam dunia fesyen dan juga bisnes. Mempertaruhkan idea rekaan tudung sedia pakai yang direvolusikan semula, impak yang diterima nyata di luar jangkaan.

Agenda 2017

Ditanya tentang perancangan untuk memperkukuhkan empayar perniagaan yang telah dibina, Lofa sesungguhnya sudah ada agenda yang siap direncanakan. Semuanya demi memastikan perjalanan bisnesnya terus berada di puncak jaya.

“Untuk tahun 2017 ini, ada pelbagai perancangan telah diatur. Antaranya ialah untuk membuka butik di Publika, Solaris Dutamas. Dengan adanya butik fizikal maka koleksi Naelofar Hijab akan terus ‘dekat’ dengan para peminat.

“Dalam masa yang sama, Naelofar Hijab juga dalam perancangan untuk tampil dengan koleksi terkini bagi menambah variasi koleksi yang sedia ada. Koleksi ini merupakan koleksi premium yang lebih elegan.

Pada hujung tahun 2017 juga jika tiada aral melintang, Naelofar Hijab akan tampil dengan koleksi untuk pengantin. Ia merupakan perancangan jangka panjang bagi memantapkan lagi label Naelofar Hijab dalam gelanggang perniagaan,” ungkap Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd ini.

Dalam masa yang sama juga, Lofa turut mencabar dirinya dengan mencuba nasib di negara Eropah. Usahawan jelita ini bakal menubuhkan syarikat serantau pertama di New York, Amerika Syarikat.

“Saya berharap dengan adanya label Naelofar Hijab di negara yang besar akan membuka peluang bisnes yang lebih luas untuk saya melebarkan sayap di lebih banyak negara berbanding hanya berlegar di dalam negara sahaja.

“Selain itu juga untuk pasaran antarabangsa, saya akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Bandar (MATRADE) untuk pasaran di beberapa buah negara seperti di Selatan Afrika, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” tutur Lofa.

Resipi Bisnes

Bercerita tentang cabaran dalam dunia perniagaan, akui Lofa, beliau sentiasa menambah baik produk yang sedia ada. Ia bagi memastikan setiap produk yang dihasilkan dapat memenuhi cita rasa pelanggan.

“Isu Naelofar Hijab yang sering diciplak merupakan antara cabaran yang perlu saya depani. Walau bagaimanapun, kami sentiasa tampil dengan koleksi baharu. Jadi mereka sudah tidak terkejar untuk mengikut apa yang Nealofar Hijab keluarkan kerana kami lebih pantas daripada mereka.

“Setiap bulan ada sahaja keluaran dan jenama baharu di bawah label kami. Alhamdulillah, setiap keluaran Naelofar Hijab pasti akan mendapat sambutan hangat kerana kualiti dan jahitan yang diberikan kemas dan menepati kehendak Muslimah di luar sana,” jelas wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.

Untuk berjaya dalam dunia perniagaan, tegas Lofa, perlu percaya dan yakin dengan keupayaan diri sendiri. Jangan ambil peduli tentang apa yang orang kata sebaliknya sentiasa berusaha dengan gigih untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Tambah Lofa lagi, dalam pergaulan seharian, sentiasa berhati-hati ketika memilih rakan.

“Bukan mudah untuk berjaya dalam dunia perniagaan. Nasihat saya kepada golongan wanita yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan, kita perlu tahu tentang apa yang diinginkan. Dalam masa yang sama, kita juga perlu tahu apa yang perlu dilakukan.

“Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu perkara yang kita tidak suka untuk melakukannya. Sentiasalah bergaul dengan mereka yang berpengalaman dalam dunia perniagaan. Secara tidak langsung, kita dapat belajar dan menimba ilmu tentang selok-belok dunia perniagaan,” ujar Lofa.

 

 

Share dari : http://www.sinarharian.com.my/rencana/legasi-bisnes-ciptaan-neelofa-1.623007