Bergelar raja sehari memanglah momen paling terindah dalam hidup seorang wanita. Ketika itu segala persiapan perlu dititikberatkan daripada soal pemilihan baju hinggalah solekan pada wajah.

Pengantin dulu-dulu, bersiap hanya ala kadar. Letak lipstik merah di bibir pun sudah memadai. Tetapi berlainan pula solekan untuk pengantin masa kini.

Kebanyakan pengantin sekarang mahukan kelainan untuk menata rias wajah di hari bahagia. Kalau boleh momen paling indah ini mahu sesuatu yang berbeza untuk dikenang seumur hidup.

Baru-baru ini tular di media sosial hasil kerja seorang jurusolek yang mengubah wajah anaknya menjadi watak ikon anime, Sailor Moon.

Setelah selesai dimekapkan, gadis itu yang merupakan anak gadisnya telah dipakaikan busana pengantin yang lengkap berhijab. Sekali pandang memang tak ubah seperti kartun Jepun versi Muslimah.

Menurut pemilik Roza Roza D’Touch, Rosmaniza Abd Kadir, 37 tahun, tidak menyangka percubaan pertama solekan berkonsep anime yang dilakukan ke atas wajah anaknya, Nurliyana Darus, 17 tahun akan tular di media sosial.

Dia mengambil masa selama 3 jam untuk menyiapkan solekan berkenaan kerana menurutnya solekan begitu perlu licin, sekata dan sempurna.

Sebaik gambar berkenaan tular, dia dihujani mesej dan panggilan yang mahukan wajah mereka turut disolek seperti patung atau watak-watak anime kesukaaan mereka.

Tambah ibu kepada dua anak ini juga, solekan berkonsep anime perlukan lebih fokus di bahagian mata, kening dan hidung. Namun cabarannya dan tahap kesukaran bergantung pada tekstur wajah individu yang disolek.

Katanya lagi, disebabkan banyak permintaan, dia bersedia untuk mempertimbangkan khidmat solekan  berkonsepkan patung atau anime untuk pelanggan yang percaya dengan sentuhannya.

Antara hasil sentuhan Rosmaniza.

SUMBER: VIA MEDIA HIBURAN

KREDIT FOTO: ROZA ROZA D’TOUCH

Share dari http://www.hijabista.com.my/trending/solekan-tular-watak-anime-jepun-ini-ambil-masa-3-jam-hasilnya-wajah-gadis-ini-bertukar-macam-patung-1.708800