Suami galak Hanez Suraya bisnes tudung

Suami galak Hanez Suraya bisnes tudung

Artis, Out & About

SUNGGUHPUN rindu untuk dengan dunia lakonan yang hampir empat tahun ditinggalkan, pelakon Hanez Suraya mengakui selesa dan bahagia dengan kehidupannya kini bergelar suri rumah rumah sepenuh masa.

Keputusan itu dilakukan kerana pelakon drama Mr Arrogant ini mahu memberikan sepenuh perhatian kepada rumah tangga.

Meski baru-baru ini tersebar cerita tentang rumah tangganya yang dikatakan sedang goyah, Hanez menegaskan dia kini bahagia bersama anak suaminya, Romie Razin.

“Sudah hampir empat tahun Hanez tidak berlakon, tetapi tidak sangka pula sehingga hari ini masih ada tawaran yang datang dan ajak Hanez kembali berlakon.

“Sesekali ada juga rasa rindu nak berlakon, namun disebabkan kepentingan Hanez kini lebih kepada keluarga perasaan itu berlalu begitu sahaja.

“Apatah lagi suami pun tidak mahu Hanez kerja tidak tentu masa dan penat berkejar ke sana ke sini, jadi mungkin ini lebih baik untuk Hanez,” akuinya jujur.

Meskipun begitu, Hanez kini sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan apabila mula terlibat dengan jualan tudung secara online lebih tiga bulan lalu.

Kata Hanez, pada mulanya dia sekadar mahu mencuba, namun tidak menyangka sambutan yang diterima begitu memberangsangkan.

“Hanez hanya menjual tudung yang telah siap menerusi online dengan nama Everyday KL dan sengaja tidak menggunakan nama sendiri sebagaimana rakan-rakan artis yang lain.

“Ia sekadar percubaan kerana Hanez mahu melihat bagaimana sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap tudung tersebut dan sekarang bila tengok ia mendapat sambutan, barulah Hanez ada keyakinan dan mula merancang untuk langkah seterusnya,” katanya.

Membuktikan kesungguhannya, kata Hanez dia juga tidak kisah melakukan sendiri penghantaran untuk para pelanggan yang membeli tudungnya.

“Bukan semua yang Hanez hantar sendiri, tetapi jika kebetulan ada masa dan pembelinya dari kawasan yang berdekatan, Hanez akan buat COD.

“Lucu jugalah bila ada peminat yang terkejut dan tidak sangka bila tengok Hanez yang hantar tudung yang mereka beli,” katanya sambil ketawa.

Galakan suami

Menurut Hanez lagi, suaminya sentiasa memberi galakan dan sokongan kepadanya untuk menceburi bidang perniagaan semenjak dulu lagi.

“Kalau ikutkan, suami sudah lama mencadangkan supaya terlibat dalam perniagaan yang Hanez minati, malah dia juga berjanji membantu menyediakan modal.

“Cuma Hanez sebelum ini tidak begitu yakin atau mungkin belum bersedia untuk melakukannya kerana takut tidak dapat memberikan perhatian kerana anak pun masih kecil lagi ketika itu.

“Sekarang bila anak sulung kami, Aleeya berusia setahun, dua bulan, barulah Hanez berani untuk buat benda lain,” jelasnya.

Berkongsi tentang perancangannya selepas ini, kata Hanez, dia bakal tampil dengan jenama tudungnya sendiri tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH jika tiada aral yang melintang dan semua perancangan berjalan dengan lancar Hanez akan tampil dengan design tudung sendiri nanti.

“Jujurnya suami dan rakan-rakan banyak memberikan Hanez sokongan dan semangat sehingga menggerakkan Hanez untuk lebih serius dalam bidang perniagaan ini,” katanya kepada Media Hiburan ketika ditemui di Majlis Pelancaran Butik AZ Brothers di Puchong semalam.

 

 

Share dari : http://www.sinarharian.com.my/mobile/hiburan/suami-galak-hanez-suraya-bisnes-tudung-1.636835